Thursday, October 26, 2017

Rahsia kesihatan wanita



Wanita dan kecantikan memang tak dapat dipisahkan. Umpama Laila dan majnun.

Harini akak nak share beberapa tips untuk kekal cantik dan berseri walaupun umur dah meningkat ke angka 48 macam akak ni. Perasan sekejap  ek 😀.

  • Minum Banyak Air

Kita disarankan banyak minum air kosong atau air suam  sekurang-kurangnya 3 liter sehari. Suhu badan manusia boleh diseimbangkan dengan pengambilan air masak yang mencukupi. Air amat penting untuk tubuh kerana tekanan darah akan lebih konsisten sekaligus membuatkan jantung berfungsi dengan lebih konsisten. 

Air juga berfungsi untuk membawa keluar semua toksin atau kekotoran yang terhasil dalam tubuh manusia (dikeluarkan menerusi peluh dan air kencing). Minum air yang mencukupi juga dapat membantu menjaga kesihatan kulit dan juga membantu membakar kalori dalam badan. 

  • Bersenam


Senaman adalah di antara ubat yang bukan saja murah, malah amat berkesan dalam merawat dan mengawal pelbagai masalah kesihatan. Bagi mereka yang berasa ‘tidak bertenaga’ apabila sampai di rumah dari tempat kerja, cubalah luangkan masa untuk bersenam. 

Buat senaman ringan di dalam rumah seperti menari, turun naik tangga atau berjalan setempat sehingga berpeluh (dalam 15 hingga 20 minit). Anda akan rasa lebih bertenaga selepas bersenam. Malah, emosi juga akan bertambah baik.

Berjalan di sekitar rumah pun satu bentuk senaman yang mudah. Jom mulakan senaman kita di awal pagi seperti selepas bangun tidur, sedikit senaman regangan dapat membantu melancarkan kembali peredaran darah.

  • Jangan Merokok



Merokok merosakkan kulit dan juga menjejaskan kesihatan. Perokok bukan sekadar membahayakan diri sendiri, malahan orang sekeliling seperti anak-anak. Perokok bukan sahaja terdedah kepada risiko strok, sakit jantung, kanser paru-paru serta banyak lagi penyakit kronik yang lain.

Merokok untuk kurus? Banyak lagi kaedah lain yang lebih selamat. Jangan korbankan diri anda, ingatlah orang tersayang.


  • Tidur Yang Mencukupi


Kajian menunjukkan, individu yang kurang tidur berisiko mendapat penyakit.Tak cukup tidur akan membuat anda kelihatan lebih tua dan mata lebam. Tidur yang cukup akan membantu mengurangkan stress dan menyegarkan badan. Lebih banyak protein dihasilkan semasa tidur dan protein inilah yang membentuk sel-sel baru bagi menggantikan atau memperbaiki sel-sel yang rosak.

  • Rehatkan Kulit Tanpa Sebarang Mekap


Pada waktu tertentu, benarkan kulit anda berehat dari memakai sebarang mekap. Kulit juga perlu bernafas. Jangan biarkan sisa-sisa mekap melekat di muka ketika masuk tidur. Rajin-rajinkan mencuci muka.

  • Makan Yang Cukup Tetapi Bukan Berlebihan



Jangan disebabkan  nak kurus, anda rela berlapar setiap hari.Cara yang paling baik ialah makan ketika lapar dan berhenti sebelum kenyang. Makanan memberikan tenaga dan vitamin yang diperlukan badan . Tetapi anda perlu pastikan ia menu sihat dan bukannya penuh lemak atau makanan segera semata-mata.

  • Manjakan diri




Tidak salah sekiranya kita meluangkan masa memanjakan diri seperti membuat facial atau mencuci rambut di salun, sauna dan spa. Anda juga boleh melakukannya di rumah. Kini terdapat banyak produk yang dapat kita gunakan untuk kita lakukan sendiri. Ini secara tidak langsung dapat berbelanja secara berhemah.

  • Mendengar Bacaan Al-Quran, Zikir Atau Muzik

Mendengar alunan suara yang lembut dapat menjadi terapi buat diri kita. Ini amat bersesuaian terutamanya bagi meredakan ketegangan. Menurut kajian muzik juga dapat merangsang otak yang memberi kesan secara langsung kepada pendengaran dan penglihatan.


  • Selalu Ketawa Dan Senyum

Menurut kajian, kita lebih banyak menggunakan otot muka ketika menarik muka masam berbanding ketika tersenyum. Senyum dan ketawa bukan sahaja dapat mengeratkan silaturahim sesama kita, malahan dapat menarik aura positif  diri.

Jadi ketawalah apabila bergurau senda dengan keluarga atau pun kawan-kawan.Jangan memoyokkan diri atau menarik muka masam. Anda hanya menambahkan kedutan di muka.



#KakSSstories

No comments:

Post a Comment